Kali ini saya ingin sentuh pula tentang budaya orang Cina yang menjalankan bisnes di rumah atau homebased business.
Jika akhir-akhir ini baru sahaja kita dengar istilah bekerja atau bisnes dari rumah, terutamanya sejak meledaknya era MLM dan juga perniagaan di internet… sedarkah kita bahawa istilah tersebut sebenarnya sudah lama sebati dalam masyarakat Cina?
Kalau kita ingat, sejak zaman sebelum merdeka lagi banyak rumah kedai 2 tingkat dibina di pekan kecil atau bandar-bandar besar. Bangunan kedai ini akan didiami keluarga Cina ditingkat atas manakala bahagian bawahnya tentulah dijadikan ruang utama bisnes milik keluarga berkenaan.
Tak kira bisnes apapun… kedai kopi, kedai runcit, kedai basikal, kedai ubat, kedai empat nombor ekor dan sebagainya… disitulah kitaran kehidupan mereka sekeluarga. Maknanya disitulah mereka mencari rezeki dan disitulah juga mereka sekeluarga tinggal membesarkan anak-anak mereka. Hidup mati dan susah senang mereka… di situlah tempatnya.
Berbeza dengan orang Melayu, menjadikan rumah sebagai markas bisnes masih lagi perkara asing. Entah macam mana, entah siapa yang menentukannya… seolah-olah ada garis pemisah antara rumah dan tempat mencari rezeki.
Sebaliknya bagi orang Cina, mereka bijak menggunakan ruang kediaman mereka sebagai tempat mencari rezeki. Jika kita ke kawasan perkampungan atau perumahan Cina di Jinjang, Balakong, Kepong, Cheras dan seumpamanya, kita akan dapat lihat ramai yang menjalankan perusahaan di belakang rumah sahaja!
Bagi yang telah membaca buku Menjejak Jutawan Senyap tulisan Chef Li, pasti anda pernah membaca mengenai perusahaan orang Cina di rumah ini. Buku ini dengan jelas menerangkan perbezaan peralatan dan isi rumah antara orang Melayu dan Cina.
Memang benar seperti dakwaan Chef Li… rumah orang Cina pasti terdapat peralatan dan ruang khas yang menghasilkan pendapatan. Sebaliknya rumah orang melayu sarat dengan perabot dan peralatan elektronik berasaskan hiburan semata-mata.
Namun, kini arus perubahan semakin kelihatan dikalangan orang melayu. Dah ramai bisnes dari rumah sahaja seperti bisnes kuih, nasi lemak, katering, jahitan, khidmat jagaan bayi hinggalah kepada bisnes MLM, insurans, saham amanah dan juga bisnes di internet! Bahkan di kawasan luar bandar, orang melayu juga sudah giat menjalankan bisnes makanan ringan dan  kraftangan.
Kita kena berubah. Tak salah kita tiru perkara yang baik daripada kaum lain asalkan ia membawa perubahan dan kemajuan positif demi masa depan anak-anak kita nanti.