Thursday, September 22, 2011

Beza Raya Melayu...Raya Cina

Blog ini sememangnya khusus membicarakan soal-soal perniagaan kaum Melayu.  Aku berpengalaman selama 12 tahun bekerja dengan bank yang dipunyai oleh kaum Cina.  Dan semestimya pelanggan utama mereka juga adalah 95% dari kaum Cina yang profesionnya adalah peniaga dan pekebun kecil.  Aku akan bicarakan tentang komitmen mereka kepada bidang masing-masing berbanding dengan peniaga dan pekebun kecil Melayu.

Aku bukannya hendak memperkecilkan keupayaan bangsa sendiri berbanding dengan kaum tersebut.  Ini adalah realiti yang bangsa kesayangan aku perlu ambil iktibar dan menginsafi kelemahan diri.  Atau orang sekarang cakap 'muhasabah' diri sebagai bangsa Melayu.  Aku boleh bercakap fasal ini kerana aku pernah bekerja makan gaji dan berniaga.  Aku berjaya dalam bidang makan gaji sehingga ke jawatan Penolong Pengurus Cawangan dari jawatan teller/kerani.  Beberapa hari setelah aku menghantar surat perletakkan jawatan,  aku telah menerima panggilan dari Jab Sumber Manusia,  bahawa nama aku telah disenarai pendek untuk ke Jawatan Pengurus Cawangan jika aku boleh bersabar untuk beberapa bulan lagi.  Ianya hanya menunggu set-up untuk pembukaan cawangan baru yang bakal aku terajui.

Sebelum ini aku pernah menerajui sebuah cawangan baru sebagai Pemangku Pengurus Cawangan kerana pengurus yang pada awalnya bersetuju untuk ke cawangan tersebut telah menarik diri disaat akhir.  Kepada yang pernah bekerja di bank ditahun 1980an dan 1990an,  mereka akan faham situasi dimana Pen Pengurus sebenarnya lebih berfungsi dalam sesuatu operasi cawangan bank berbanding pengurus.   Berbeza pada hari ini,  dikebanyakkan bank, ada Pengurus Cawangan, Pengurus Operasi dan Pengurus Pemasaran dan Pinjaman dalam satu-satu cawangan.

Pada hari raya yang baru lepas, aku hanya bercuti 2 hari sebelum hari raya, dan memulakan perniagaan pada hari raya ke 2.  Aku pergi menziarahi kedua-dua pusara ayah-bonda sehari sebelum hari raya.  Biasanya aku buat pada hari raya pertama atau kedua.  Ini kerana kedua-dua pusara ayah-bonda aku terletak agak jauh dari tempat aku bermastautin sekarang.  Sejak kedua-dua ayah-bonda aku meninggal dunia,  aku tidak pernah gagal untuk menziarahi pusara mereka pada hari raya atau beberapa hari sesudah/sebelumnya.  Kedua-dua pusara arwah mertua aku pula berada dikawasan aku tinggal sekarang.  Biasanya adik-beradik sebelah isteri aku pula mengharapkan aku dapat mengetuai majlis tahlil di petang 1 Syawal dan dipusara ayah-bonda mertua aku di pagi Syawal.  

Aku kenalah membahagikan masa aku untuk menziarahi pusara kedua-dua ayah-bonda sendiri dan sebelah mertua.  Atas kelebihan ini (mengetuai bacaan doa/tahlil) aku terkenang dan berterimakasih kepada guru-guru sekolah agama petang (di Johor antara tahun  1970 hingga 1976).  Betapa disitulah aku dapat menimba pelajaran agama yang agak sempurna dan dapat dijadikan amalan hingga kini dan menyelamatkan aku dari terjebak dgn amalan agama sesat.  

Pada hari raya baru lepas aku telah memulakan perniagaan pd hari raya ke 2.  Oleh itu, aku mula melakukan persiapan untuk berniaga pada petang hari raya pertama lagi.  Antara tugasan  yg perlu dibuat lebih awal ialah penyediaan daun pisang dan mengukus nasi separuh masak supaya mudah dikukus sepenuh masak pada keesokkan harinya (biasanya seawal 3 pagi).  Mengukus separuh masak diperlukan untuk mengelakkan nasi yang telah diperapkan santan rosak pd keesokkan harinya.


Waktu dinihari seawal jam 2 pagi, raya ke 2, aku dan isteri ku dan dibantu oleh anak-anak telah bangun untuk menyediakan 1,000 bungkus nasi lemak yg telah ditempah oleh kak Hajah Robiah (Kak Yah).  Kak Yah adalah tuan-punya warung selera yg terletak berhadapan dengan hotel Formosa di Limbongan, Melaka berhampiran SK Tengkera.  Kak Yah adalah usahawanita yg gigih dan berjaya.  Kak Yah juga adalah operator bas sekolah di kawasan Limbongan/Klebang/Pokok Mangga.  Sebelum menempa kejayaan sebagai usahawan berjaya,  Kak Yah juga telah menempuh pahit-maung sebagai peniaga jalanan.


Sebelum itu,  aku agak terpana apabila Kak Yah membuat tempahan sebegitu banyak nasi lemak pd pagi 2 hari raya.  Antara percaya dengan tidak aku hanya menggangguk tanda sanggup.  Aku memikirkan tentang masalah daun pisang yang patut disediakan dari raya ke 2 hingga ke 5.  Huh!  Setiap hari 1,000 bungkus selama 5 hari aku perlukan tak kurang 100 kg daun pisang.  Dapat ke?  Aku bertanyakan kpd pembekal biasa samada dia sanggup untuk membekalkannya.  Dan dia kata dia sanggup.  Aku lega.  Dua hari menjelang  1 Syawal,  dia telah membekalkan aku 50 kg daun pisang.  Baki lagi 50 kg akan dihantar pada 3 hari raya.  Aku senyum puas kerana 50% masalah daun pisang selesai.  Dalam pada itu aku juga cuba mendapatkan daun pisang dari pembekal-pembekal lain kalau-kalau mereka juga ada bekalan.  Tetapi hampa.  Alasan mereka , "Raya bang...sape nak pergi cari daun pisang raya-raya macam ni?"  


Tepat pukul 6 pagi, 2 Syawal.   Telah bersusun bakul-bakul besar berisi nasi lemak di hadapan meja Kak Yah di warung seleranya.  Setiap bakul ada 100 bungkus.   Kelihatan ada 7 bakul (700 bungkus).  300 bungkus lagi aku hantar secara berperingkat 100 bungkus setiap setengah jam.  Jam 9.30 pagi kesemua 1,000 bungkus nasi lemak di warung Kak Yah habis semuanya   Pelanggan yang sampai lewat dari waktu itu hampa.  Kak Yah menjanjikan esok ada lagi.  Pada pagi 3 Syawal Kak Yah juga telah berjaya menjual 1,000 bungkus nasi lemak di warungnya.


Pagi  4 Syawal di warung Kak Yah agak kecoh.  Kerana apa?  Mereka membuat bising kerana Kak Yah mungkir janji.  Semalam Kak Yah cakap ada nasi lemak yang macam semalam.  Tapi....apasal nasi lemak hari ni lain.  Bungkusannya tidak seperti biasa.  Tak ada daun pisang.


Sebenarnya pada petang 3 Syawal aku bengang, kerana bekalan daun pisang yg dijanjikan pembekal aku tu gagal menghantarnya seperti dijanjikan sebanyak 50 kg lagi.  Aku telefon Kak Yah menerangkan masalah daun pisang.  Kak Yah kata kalau dah tak ada, terpaksalah guna pembungkus kertas makanan yg biasa ada di pasaran (kertas tahan minyak).    


Puas jugalah Kak Yah terpaksa menerangkan kepada pelanggannya yg nasi lemak hari tu adalah sama dengan hari-hari semalam.  Cuma tanpa daun pisang seperti biasa.  Hari tu,  walaupun nasi lemak yg dijual habis 1,000 bungkus, tetapi ia agak lewat sedikit kerana masalah daun pisang.  Kepada peniaga-peniaga lain, lihatlah bagaimana 'product appearance' memainkan peranan penting dalam sesuatu perniagaan.


Pada hari berikutnya,  barulah pembekal biasa aku tu dapat menghantar daun pisang sebanyak 50 kg.  Aku tak boleh salahkan dia kerana dia bukannya mencari sendiri daun pisang tu, tapi dia bergantung kepada pencari daun pisang lain yg masih berhari-raya.  Melayulah katakan.  Ada juga rakan-rakan lain mengesyorkan supaya aku dapatkan bekalan lebih banyak lebih awal.  Masalahnya daun pisang yang telah dipotong boleh bertahan 3 hari sahaja.  Lepas tu ia akan mula mengguning.


Inilah masalahnya kepada peniaga-peniaga yang nak berniaga pada musim raya.  Masalah ini juga berlaku kepada peniaga-peniaga lain yg memerlukan bekalan bahan niaga seperti aku.  Tetapi hal ini tak akan berlaku jika kita nak berniaga pada musim perayaan kaum lain, khususnya China.  Jika kita pelanggan mereka,  mereka akan pastikan kita mendapat bekalan sewajarnya.  Inilah bezanya raya Melayu dan raya China.


Sampai bila budaya sebulan berpuasa, sebulan juga berhari raya kepada orang Melayu akan terus menjadi amalan??? 








    

No comments:

Post a Comment