Friday, August 26, 2011

Suatu Ketika: 1511 Empayar Kesultanan Melayu Melaka Hancur

Semasa entri ini ditulis aku baru selesai tonton Astro Prima 105 yang menyiarkan program di atas.  Tanpa aku sedari air mata menitis lantaran kerana terlalu sedih membayangkan bagaimana sebuah empayar kesultanan Melayu yang begitu gah pada zaman itu tiba-tiba hancur setelah ditawan tentera kafir Portugis.  Ini bermakna kerajaan kesultanan Melayu Islam itu wujud sebagai sebuah kerajaan yang berdaulat cuma sedikit-lebih 100 tahun sahaja.

Telah dikisahkan antara sebab-sebab kejatuhan empayar Kesultanan Melayu itu antaranya:-

1.  Perpecahan dikalangan pembesar-pembesar Melayu itu sendiri,  terutamanya pembunuhan keatas keluarga bendahara pada masa itu, bendahara Tun Mutahir.  Beliau terkenal sebagai bendahara yang berjiwa rakyat.  Sebab itu pengaruhnya dikalangan rakyat sangat kuat.  Sebahagian pembesar iri-hati dengan bendahara.  Mereka telah menghasut sultan yang bendahara akan merampas kuasa sultan.  Sultan pula sememangnya telah lama berdendam dengan bendahara kerana tidak menyerahkan puteri bendahara, Tun Fatimah sebagai isteri sultan.  Sebaliknya bendahara telah mengahwinkan puterinya dengan Tun Ali.  Akibat permainan politik jahat pembesar,  sultan telah memerintahkan supaya bendahara dihukum bunuh.  Hampir semua kaum-kerabat dan sanak saudara Tun Mutahir telah dibunuh oleh Sultan Mahmud,  sultan yang memerintah pada masa itu.  Bendahara Tun Mutahir telah di bunuh pada tahun 1508M.  Hanya Tun Fatimah terselamat kerana sultan sememangnya mempunyai niat untuk memperisterikan Tun Fatimah.

2.  Kemewahan kerajaan Melaka pada masa itu telah menyebabkan rakyat Melaka lupa diri dan alpa kepada keadaan keselamatan diri sendiri dan menyerahkan soal keselamatan dan pertahanan negeri kepada samada askar upahan dari Jawa, India dan rakyat dari negara sempadan.  Jadi, apabila musuh se gagah askar portugis menyerang, askar upahan yang sememangnya tiada jati diri dengan mudah menyerah kalah atau siang-siang lagi telah cabut lari.

3.  Tujuan utama Portugis menyerang Melaka ialah untuk mengambil alih kuasa ekonomi dan peranan Melaka sebagai 'hub' perdagangan rantau sebelah sini.  Hampir semua kapal dagang dari China, India, Jawa dan lain-lain negeri dirantau ini berdagang di pelabuhan Melaka.  Komoditi utama dagangan pada masa itu ialah rempah-ratus dari kepulauan Melayu dan sutera dari China.  Taktik utama yang digunakan oleh tentera Portugis ialah berpura-pura menjadi pedagang.  Mereka juga telah menunjukkan budaya kurang-ajar barat dengan menganggu anak-dara dan perempuan Melayu di Melaka.  Akibat budaya biadap ini, seramai 19 orang askar Portugis telah ditangkap dan dihukum oleh kerajaan Melayu masa itu.  Kerajaan Melayu pada masa itu memang memerintah mengikut hukum syarak.  Suasana ini telah menyebabkan orang-orang Portugis marah dan mencari alasan untuk menyerang Melaka.  Dan sebagaimana yang telah dirancang oleh Portugis,  mereka telah menghantar lebih ramai askar termasuk askar upahan dari India untuk menakluk Melaka.  Kerajaan Melayu Melaka yang pertama tumbang.  Hilang sudah sebuah kerjaan Melayu Islam.

4.  Tujuan ke dua Portugis datang ke Melaka ialah untuk menyebarkan fahaman Kristian.  Kesan kekalahan barat dalam perang salib ke atas umat Islam telah menyemarakkan lagi semangat kaum Kristian untuk meruntuhkan mana-mana sahaja kerajaan yang bertunjangkan Islam sebagai undang-undang negara.  Malang bagi kerajaan Melayu Melaka, rupa-rupanya menjadi sasaran niat jahat Kristian Barat.  Kesannya, sehingga sekarang terdapat banyak gereja-gereja besar telah didirikan di bandar Melaka.  Gereja St. Paul umpamanya telah dibina oleh Kapten Portugis yang bernama Duarte Coelho pada tahun 1521 dan dinamakan "Our Lady of The Hill" yang terletak dalam kawasan runtuhan kompleks istana Melaka.  Selepas itu, banyak lagi gereja-gereja besar telah dibina berdekatan antara satu sama lain.  Gereja Christ Church (1753) juga dikatakan telah dibina diatas tapak bekas masjid yang terletak dikawasan strategik pelabuhan Melaka.

Sebab itu kalau kita melawat Melaka, tiada kelihatan masjid yang terletak ditengah pusat pentadbiran kerajaan Portugis/Belanda yang terletak di kuala Sg. Melaka.  Masjid-masjid lama yang terletak dikawasan strategik ekonomi sebenarnya telah dimusnahkan oleh penjajah Portugis.  Kalau ada pun masjid-masjid lama ianya terletak agak jauh dari pusat pentadbiran kerajaan pada masa itu.  Umpamanya masjid Kg Hulu, ianya terletak agak jauh ke hulu Sg. Melaka dari pusat ekonomi Portugis/Belanda.

Kita tidak boleh melupakan sejarah.  Ambillah pengajaran dari peristiwa di atas.  Kerajaan Melaka tumbang akibat kemuncak kemewahan rakyat Melaka.  Sekarang juga kita berdepan dengan keadaan sama.  Kita baru sahaja merdeka 54 tahun .  Terlalu muda.  Rakyat kita juga mewah.  Samalah juga dengan rakyat Melaka dulu.  Tidak kurang 2 juta pendatang asing berkeliaran di bumi Melayu kerana bekerja dan berkongsi kemewahan yang sedang dinikmati oleh Melayu sekarang.  Dan sekarang anak-anak muda kita ramai yang tidak mahu jadi askar.  Gaji jadi askar murah.  Ada banyak tempat lain yang boleh menawarkan gaji lebih lumayan.   Mungkin suatu hari nanti tiada lagi anak Melayu yang ingin jadi askar dan terpaksalah kita menggunakan tenaga asing untuk jadi askar di negara ini.   Fikir-fikirkanlah.   Bersatulah Melayu.

Antara sebab Portugis menyerang Melaka adalah kerana agama.  Mereka penyebar dakyah Kristian.  Sekarang umat islam Melayu ada yang berpecah kerana mempertahankan Allah triniti Kristian.  Melayu duduk dibarisan hadapan orang Kristian supaya nama Allah triniti dapat digunakan dalam suratan dakyah mereka dalam negara Islam yang berpelembagaan Islam agama rasmi.

Kalau dahulu raja/sultan telah menjadi penyebab runtuhnya sebuah kerajaan Melayu,  tetapi hari ini ada kelancangan orang Melayu untuk meruntuhkan institusi kesultanan Melayu yang telah dijamin dalam perlembagaan negara.   Rakyat Malaysia keturunan China/India sendiri tidak berani menyentuh soal-soal institusi raja secara terang-terangan,  tetapi orang Melayu sendiri seolah-olah mengajak kaum lain untuk bertindak menentang raja-raja Melayu.

Apa yang lebih menggerunkan ialah apabila tidak ada majoriti Melayu di Parlimen (sekarang telah berpecah tiga),  dan orang-orang Melayu lebih rela berkongsi kuasa dengan kaum lain untuk menghancurkan Melayu yang berada dipehak lain.  Melayu yang telah berkerat rotan dan berpatah arang akan terpaksa menjilat bontot kaum lain untuk tubuhkan kerajaan nanti.   Insaflah.  Jadikan kejatuhan empayar kerajaan Melayu Melaka sebagai pengajaran.  Ingat!  Sejarah bukan sahaja satu catatan untuk diketahui oleh orang yang terkemudian.  Tetapi ia juga boleh berulang.  Percayalah...skripnya sama, cuma pendokong watak sahaja berbeza.  Renung-renungkanlah...      

Sunday, August 14, 2011

Jutawan Ajak Kongsi Niaga Nasi Lemak?

Awal puasa bulan ni aku terkejut bila seorang jutawan ternama ajak aku kongsi buka perniagaan nasi lemak bungkus dengannya.  Macam percaya dengan tidak.  Dia memang telah lama kenal dengan aku.  Dan tahu aku jenis orang yang tak mudah lemah semangat dalam perniagaan.  Mungkin ciri-ciri yang ada pada aku ni telah menarik hati dia untuk berkongsi niaga dengan aku.

Sebagai seorang yang berfikiran positif,  aku tak nak lepaskan peluang ini.  Tengok ajelah   bagaimana 'Nasi Lemak Antarabangsa' telah menempa kejayaan.  Mereka juga bermula sebagai penjual nasi lemak jalanan.  Sekarang mereka telah ada nama.

Bagaimanapun aku kena bersabar kerana jutawan ni akan menunaikan Umrah tak berapa hari lagi.  Dia akan kembali dari umrah pada 3 atau 4 hari raya 1432H ni.  Apa yang boleh aku buat sekarang adalah buat sikit kertas kerja dan kosting untuk perniagaan tu nanti.  Apabila dia kembali nanti kami akan berbincang lebih lanjut.

Adakah cita-cita aku nak jadi jutawan akan tercapai berkat berkawan dan berkongsi perniagaan dengan jutawan ni?

Friday, August 5, 2011

Siapa USAHAWAN...




U -  usahawan komitmennya terhadap kerja adalah 24 jam sehari. (Nasib baik ada hanya cuma 24 jam sehari.      Thanks God!)

S -  sara dirinya adalah dari perniagaan semata-mata.  Dia tidak menadah tangan mengharapkan pemberian/gaji dari orang lain.

A -  akalnya sentiasa memikir untung-rugi perniagaan.  Hakikatnya,  kadang-kadang untung,  kadang-kadang rugi.

H -  harga barang jualan dan belian sentiasa bermain di bibir.  Ini zikirnya selain menyebut nama Allah.

A -  ahli keluarganya semua terlibat sama.  Paling tidak anak kecilnya akan mengira duit syiling atau ditabungnya syiling itu.

W -  wawasannya untuk menjadi jutawan tetap ada.  Walaupun hanya peniaga nasi lemak jalanan.

A -  asalkan berhasil,  biarpun kecil niaganya.  Itu falsafahnya sebelum dia melangkah ke dunia korporat.

N -  nasib dirinya dia yang menentukan sendiri.  Tiada kenaikan pangkat maupun gaji.